Kontinjen Kedah akhirnya berjaya memperoleh emas sulung mereka di kejohanan SUKMA Sarawak 2024 menerusi acara berbasikal 108KM Lepas Beramai-Ramai (Berpasukan) sebentar tadi untuk membanggakan peminat sukan di negeri Jelapang Padi.
“Kontinjen Kedah telah berjaya menggondol Pingat Emas melalui Nur Fitrah Binti Shaari Nurul Nabilah Binti Mohd Asri, Phi Kun A/P Pan dan Zahra Afifah Binti Zamri dalam acara Berbasikal (108KM LEPAS BERAMAI-RAMAI – BERPASUKAN),” kongsi laman rasmi Majlis Sukan Negeri Kedah di Facebook.
Kejayaan itu dianggap sangat membanggakan apabila Kedah turut memperoleh pingat perak hari ini menerusi acara Berbasikal 108KM Lepas Beramai-Ramai (Perseorangan) menerusi Nur Fitrah Binti Shaari.
Malah, rata-rata peminat turut mengucapkan tahniah kepada para atlet tersebut yang dianggap berjaya mengharumkan nama Kedah di Sarawak kini menerusi kutipan emas pertama.
“Akhirnya EMAS pertama berjaya dituai pastinya dari team berbasikal yang paling berjaya dalam semua edisi SUKMA.Tahniah coach & atlet Kedah,” komen Mri Qey.
Kejayaan itu kini menjadikan Kedah berjaya memungut 1 emas, 2 perak, bersama 1 gangsa dan dianggap masih berpeluang untuk meraih lebih banyak kejayaan pada acara sukan-sukan lain.
Walaupun begitu, skuad bola sepak Kedah kali ini tampil sedikit mengecewakan apabila mereka mencipta kekalahan di tangan Penang menerusi keputusan 0-1 bagi peringkat Kumpulan C.
Kami di Arena HijauKuning mendoakan kepada semua atlet lain yang bertanding atas nama Kedah turut menempa kejayaan sekali gus mengharumkan nama negeri pada edisi SUKMA kali ini.