Momentum Kedah untuk meraih kejayaan baharu di Sarawak diteruskan dengan kini mereka menambah 4 pingat untuk terus membanggakan para penyokong di pentas SUKMA 2024.
Terbaharu, Anis Natasya binti Ahmad tampil selaku penyumbang pingat emas ketujuh buat Kedah menerusi acara Berbasikal (Down Hill Individual) Wanita.
Kejayaan itu jelas memberi reaksi cukup positif dalam kalangan peminat sukan SUKMA Kedah apabila Anis berjaya memberi sumbangan pingat emas terbaharu buat kem Jelapang Padi hari ini.
Menerusi perkongsian dibuat oleh Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN Kedah), mereka turut mengucapkan tahniah buat Anis yang mencipta kejayaan selain beberapa komen positif turut diberikan.
“EMAS MAI LAGI UNTUK KONTINJEN KEDAH DI SUKMA SARAWAK 2024. Kontinjen Kedah berjaya memperoleh Pingat Emas melalui Anis Natasya Binti Ahmad dalam acara Berbasikal (Down Hill Individual (DHI) Wanita),” jelas kenyataan tersebut.
Selain Anis, 3 lagi pingat gangsa turut diraih Kedah pada hari ini untuk menambah kutipan semasa serta merapatkan kedudukan bersama Perlis yang kini di tangga ke-12
3 pingat tersebut masing-masing disumbang oleh Nur Damea Balqisya binti Mohammad Idzwan (Olahraga 10,000M Lumba Jalan Kaki Wanita), Muhammad Aniq Albar bin Razali (Judo Tidak Melebihi 55KG Lelaki), dan Niya Khalisah binti Yahya (Judo Melebihi 70KG Wanita).
Secara keseluruhan, Kedah kini sudah meraih 32 pingat dengan pecahan 7 emas, 7 perak, serta 18 gangsa untuk berada di tangga ke-13 mengatasi Kelantan serta Brunei.
Kami di Arena HijauKuning menyeru anda semua untuk terus memberi sokongan motivasi buat para atlet Kedah supaya mereka tampil bermotivasi untuk berdepan cabaran di Sarawak.
Walaupun sasaran diletakkan masih jauh, sekurangnya perjuangan para atlet negeri kita kini terus tampil berusaha untuk mengharumkan nama kontinjen.