Kontinjen Kedah berjaya menambah satu lagi pingat emas hari ini dalam saingan SUKMA 2024 yang kini sedang berlangsung di Sarawak selain beberapa lagi kejuaraan turut diperoleh sebentar tadi.
Nur Adina Fatihah binti Zaharul Nizam menjadi atlet terbaharu yang berjaya mengharumkan nama Kedah di Sarawak apabila beliau unggul meraih pingat emas bagi kategori Pencak Silat Solo Kreatif Wanita sebentar tadi.
Kejayaan itu memastikan Kedah kini secara rasminya telah pun meraih enam kutipan pingat emas sejak saingan SUKMA 2024 mula berlangsung bersama aksi cukup membanggakan.
Kejayaan Adina juga menjadikan beliau mendapat perhatian para peminat yang tampil memberi ucapan tahniah kepada beliau menerusi media sosial Facebook Majlis Sukan Negeri Kedah.
“Hebat, tak akan hilang melayu di dunia. Syukur tahniah Srikandi Nur Adina,” antara ucapan positif yang diberikan oleh Ahmad Azwad Mukhtar di ruangan komen MSN Kedah sebentar tadi.
Selain itu, Kedah turut meraih satu pingat perak pada hari ini menerusi acara Tenpin Boling Women’s Master (Top 24) yang dimenangi oleh Nur Anis Anisya binti Muhamad Zaffli.
Sementara itu tiga pingat gangsa turut diperoleh hari ini buat negeri Jelapang Padi dengan Monisha A/P Yayadi meraihnya menerusi acara Karate Kumite Individu 68KG Wanita, Farrisa Najihah binti Yousmera bersama Nur Anis Anisya binti Muhamad Zafli dan Nurul Anis Nabila binti Mohd Nizam (Tenpin Boling Women’s Bertiga), serta Anis Nadzirah binti Mohammad Fauzi, Nur Alya Najwa binti Azizan dan Nur Afrina Nasrin binti Mohamad Nazri (Pencak Silat Regu Wanita).
Secara keseluruhan Kedah kini berada di kedudukan ke-13 daripada 15 pasukan bertanding serta meraih 28 pingat secara keseluruhan bagi mengatasi Kelantan serta Brunei.
Tahniah buat para atlet!