Skuad berbasikal Kedah kali ini antara yang begitu menonjol di pentas SUKMA 2024, Sarawak apabila mereka berjaya merekodkan pelbagai kejayaan untuk mengharumkan nama negeri.
Apa tidaknya, untuk saingan edisi kali ini sahaja menyaksikan 10 pingat berjaya diraih oleh skuad tersebut untuk menjadikan ia sebagai sebahagian besar kejayaan buat negeri Jelapang Padi.
5 emas, 3 perak, dan 2 gangsa menjadi saksi kejayaan skuad berbasikal kali ini begitu cemerlang di kejohanan SUKMA sehingga mendapat perhatian ramai peminat menerusi media sosial.
Malah, acara berbasikal juga menjadi saksi Kedah untuk meraih pingat emas sulung di Sarawak melalui Nur Fitrah Binti Shaari Nurul Nabilah Binti Mohd Asri, Phi Kun A/P Pan dan Zahra Afifah Binti Zamri dalam acara Berbasikal (108KM LEPAS BERAMAI-RAMAI – BERPASUKAN).
Menerusi perkongsian Noor Alfizar selaku jurulatih utama skuad berbasikal Kedah, beliau nyata sangat gembira dan mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang mendoakan kejayaan mereka.
“Bismillah, saya selaku ketua jurulatih pasukan berbasikal Negeri Kedah ingat mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan mendoakan kejayaan kami di Sukma ini, terutama ibu bapa yang percaya dan yakin dgn saya.
“Jasa baik budi tuan puan hanya Allah yg mampu balas. 5 emas 3 perak 2 gangsa Allah izinkan untuk kami bawa pulang hadiahkan untuk yang menyokong kami selama ini.. Alhamdulillah dan terima kasih semua,” jelas beliau.
Untuk edisi hadapan, pastinya kami di Arena HijauKuning mendoakan supaya lebih banyak kejayaan dan rekod baharu dilakar skuad berbasikal Kedah demi mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan.