Atlet Kedah terus mencipta rekod membanggakan apabila momentum emas dan pingat lain diteruskan pada hari ini, apabila mereka berjaya meraih beberapa kejuaraan terbaharu mengikut sukan dipertandingkan.
Terbaharu, kontinjen Kedah berjaya meraih 8 pingat dengan salah satu daripadanya ialah emas menerusi sumbangan Krishnan A/L Vellu dalam acara Karate Kumite Individu 60KG Lelaki.
Kejayaan itu turut dikongsikan sendiri melalui Majlis Sukan Negeri Kedah di Facebook dengan laman berkenaan mengucapkan tahniah atas kejayaan Krishnan.
“Kontinjen Kedah telah menaiki podium dengan Pingat Emas melalui Krishnan A/L Vellu dalam acara Karate (Kumite Individu Lelaki – 60kg),” jelas laman tersebut.
Kejayaan itu menyaksikan Kedah kini sudah pun memperoleh 4 pingat emas secara keseluruhan untuk menjadikan momentum mereka kini di landasan positif.
Jumlah kutipan pingat emas tersebut kini menyaksikan negeri Jelapang Padi itu terikat bersama Selangor untuk masing-masing meneruskan momentum tersendiri.
Kutipan pingat lain menyaksikan Sehveetrraa A/P Kumar meraih pingat perak bagi kategori Skuasy Perseorang Wanita hari ini.
6 pingat gangsa dimiliki Kedah hari ini melalui Aira Binti Azman (Skuasy Perseorangan Wanita), Ninesh A/L Thiruchandru (Menembak Pistol Udara 10M Lelaki), Muhammad Firdaus Bin Che Halim (Muaythai 42-45KG Lelaki), Muhammad Hafiz Daniel Bin Roslan (Muaythai 45-48KG Lelaki), Nur Anis Ayuni Binti Mohd Amin (Muaythai 45-48 KG Wanita), dan Iskandar Zulqarnain Bin Mohd Ezry A’zamin (Muaythai 51-54KG).
Kami di Arena HijauKuning ingin mengucapkan tahniah buat para atlet Kedah!