Saingan Piala FA kembali membuka tirai bagi edisi 2023 dengan Kedah Darul Aman (Kedah) menjadi salah satu pasukan tumpuan untuk pusingan pertama menentang Penang FC.
Setelah tampil dengan prestasi memberansangkan dalam saingan Liga Super sebelum itu, kini Kedah bakal membawa cabaran baharu dalam misi untuk merebut kejuaraan berkenaan pula.
Piala FA boleh dianggap sebagai salah satu kejohanan yang sangat bersejarah buat Kedah, selepas rekod menyaksikan pasukan tersebut sudah pun merangkul kejuaraan itu sebanyak lima kali.
Kali terakhir Kedah muncul juara ketika mereka berjaya menewaskan Perak pada tahun 2019 menerusi jaringan tunggal pemain tengah berbakat besar, Fadzrul Danel di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Musim lalu, Kedah tidak dapat mengulangi sejarah tersebut selepas mereka sekadar terkandas di pusingan ketiga sewaktu berdepan Terengganu di gelanggang lawan.
Namun, segalanya berbeza kini selepas rombakan baharu yang dibuat Kedah untuk memulakan
kembali cabaran musim ini bawah kendalian jurulatih baharu, Nafuzi Zain.
Pastinya para penyokong mempunyai impian yang tinggi untuk melihat Kedah jika mereka mampu mengulangi sejarah kejayaan pasukan tersebut pada tahun 2019.
Apa tidaknya, tahun itu merupakan musim pertama buat bekas pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak dan ianya merupakan kejayaan sulung dilakar oleh jurulatih tersebut buat para penyokong Sang
Kenari untuk mendakap piala domestik.
Musim ini Kedah dilihat sangat menyakinkan, selepas mereka dibarisi para pemain import yang cukup berkualiti bersama tonggak tempatan untuk membina kembali legasi pasukan pada era bola
sepak moden.
Berdepan cabaran Penang FC, pastinya ia menggamit suatu nostalgia tersendiri dalam kalangan peminat apabila ia melibatkan Derbi Utara yang penuh dengan sejarah serta menjanjikan suasana cukup panas dalam dan luar padang.
Rekod pertemuan kedua pasukan ini sejak beberapa tahun lalu cukup menarik untuk dikenang, dan ia merupakan sesuatu tidak boleh diterima para penyokong, jika pasukan mereka tewas kerana membabitkan maruah tersendiri.
Penang FC yang juga membuat rombakan musim ini telah menampilkan ramai muka-muka baharu membarisi pasukan berkenaan dan dilihat sedikit berbeza berbanding musim lalu dalam corak permainan.
Memandangkan ini merupakan aksi kalah mati, pastinya lawan juga sudah membuat rencana
tersendiri untuk memerangkap Kedah di gelanggang lawan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Para pemain Kedah perlu kekal tenang mengawal emosi di atas padang, serta memberi fokus sepenuhnya untuk memenangi perlawanan tersebut di halaman sendiri.
Dijangka pemain seperti Bojan Ciger, Ariff Farhan, Lee Tuck, dan beberapa lagi akan terus mengetuai cabaran Kedah dalam misi meraih kemenangan pertama dalam aksi Piala FA 2023 untuk terus mencipta sejarah baharu tahun ini.