Fayadh Zulkifli boleh dikatakan sebagai antara pemain Kedah Darul Aman (Kedah) paling ketara daripada segi kejatuhan prestasi beliau pada saingan lalu di pentas domestik.
Jika tahun 2022 menjadi sesuatu yang sangat hebat buat Fayadh, musim seterusnya boleh dikatakan sebagai mimpi ngeri buat beliau selepas melihat kepada prestasi serta rekod diberikan pemain itu di atas padang.
Musim lalu menyaksikan Fayadh menamatkan cabaran di pentas domestik dengan merekodkan satu bantuan jaringan sahaja daripada 27 penampilan, dan beliau antara tidak terlepas daripada mangsa kritikan ramai di media sosial.
Berbanding pada tahun 2022, apabila ia boleh dianggap sebagai tahun terbaik buat pemain sayap lincah itu untuk merekodkan 11 gol bersama 4 bantuan jaringan secara keseluruhan bersama Kedah daripada 30 penampilan termasuk dalam saingan AFC.
Untuk pramusim ini, pastinya Fayadh menjadi antara pemain yang mempunyai tekad untuk kembali mencipta kebangkitan bersama Kedah serta memastikan dirinya kembali dipilih untuk pasukan kebangsaan.
Lebih menarik, pemain berusia 25 tahun itu kembali menemui sentuhan gol apabila beliau meledak jaringan tunggal ketika memastikan Kedah memperoleh kemenangan sulung bagi siri kejohanan AGARBOMB PERFORMANCE CUP dengan menewaskan Terengganu II.
Jaringan tersebut terhasil menerusi satu lorongan bijak daripada Irfan Zakaria yang membuka ruang buat Fayadh untuk menyudahkannya pada minit ke-17 serta memastikan Sang Kenari meraih kemenangan.
Di sebalik ramai pemain pergi pada musim lalu, Fayadh memilih untuk terus kekal bersama Nafuzi Zain di Kedah dan pastinya pengendali tersebut masih memiliki rencana cukup besar untuk memastikan beliau kekal relevan buat Sang Kenari.
Salah seorang ‘Wonderkid’ yang pernah menggegarkan dunia bola sepak tempatan suatu ketika, pastinya peminat Sang Kenari sendiri tidak sabar untuk melihat kebangkitan kembali Fayadh pada saingan akan datang.
Malah, Fayadh juga pastinya ingin terus memantapkan persiapan daripada segi fizikal dan mental kerana beliau dijangka bakal menghadapi persaingan sengit daripada pemain import seperti Sukhroub Nurullaev serta Sony Norde untuk merebut kesebelasan utama.
Anggap sahaja jaringan semalam sebagai ‘nafas baharu’ buat pemain ini untuk memulakan langkah positif kembali bersama Sang Kenari pada persaingan musim ini.
Buat Fayadh, terus kekalkan momentum positif ini bersama Kedah untuk terus menjulang nama kelab itu pada musim 2024/2025 bersama kejayaan dan menceriakan kembali para peminat.
-Afiq Rowley-