Kedah Darul Aman (Kedah) kini berada dalam momentum terbaik mereka kembali setelah berjaya mencatat kemenangan dalam aksi keempat Liga Super 2023 dengan menjadikan Kelantan United sebagai mangsa terbaharu.
Menerusi kemenangan 3-2 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kedah mempamerkan karakter yang sangat positif untuk mengetepikan cabaran tuan rumah, walaupun tampil serba kekurangan.
Dengan ketiadaan Manuel Ott dan Nafuzi Zain yang menjalani hukuman penggantungan akibat layangan kad merah ketika bertemu PDRM, jelas tidak merencatkan langsung Sang Kenari untuk tampil serba garang bertemu Kelantan United.
Manuel Hidalgo boleh dianggap sebagai pemain paling menyerlah pada aksi tersebut menerusi gerakan lincahnya yang memperdayakan lawan bersama beberapa peluang menarik dicipta beliau.
Kuching City bakal menjadi lawan Kedah di Stadium Darul Aman (SDA) untuk meneruskan momentum terbaik mereka bagi mencatat kemenangan keempat musim ini. Kuching City menjadi lawan keempat Kedah musim ini yang tampil menerusi saingan Liga Premier musim lalu dan boleh disifatkan lebih baik berbanding Kelantan United
Apa tidaknya, Kuching City musim ini telah mengekalkan penyerang prolifik mereka dari Liberia iaitu Abu Kamara dan pemain tersebut tampil sangat konsisten dalam setiap perlawanan.
Daripada empat perlawanan dihadapi, Kamara telah pun meledak dua jaringan bersama satu bantuan gol, dan beliau wajar diberi perhatian rapi oleh pertahanan Kedah.
Kamara telah pun mencatat lapan percubaan secara keseluruhan dengan empat daripadanya menuju tepat ke gawang gol lawan.
Selain Kamara, pasukan yang dikendalikan oleh Irfan Bakti Abu Salim itu juga mempunyai beberapa lagi rangkaian pemain berpotensi untuk melakar kejutan seperti Aylton Alemao dan Sudi Abdallah. Malah, bekas pemain Kedah iaitu Hidhir Idris turut bakal kembali di bumi Darul Aman selaku salah seorang penyerang yang kini bermain untuk Kuching City.
Walaubagaimana pun, Kedah tetap dianggap sebagai pilihan menerusi prestasi semasa mereka yang meraih kemenangan selain berkelebihan bermain di gelanggang sendiri.
Pemain seperti Lee Tuck, Manuel Hidalgo, Ariff Farhan, serta Willian Lira dijangka bakal memainkan peranan besar buat Kedah untuk menjadi tunjang utama kekuatan pasukan tersebut dalam usaha mendapatkan gol.
Sentuhan emas daripada Nafuzi Zain bersama Victor Andrag juga pastinya akan terus ditagih oleh para penyokong Sang Kenari untuk membuktikan sesuatu dalam mencatur taktikal terbaik buat Kedah.
Semoga Sang Kenari mampu terbang tinggi untuk terus menjadi salah satu pasukan digeruni musim ini dalam saingan Liga Super serta memberi impak positif bagi perlawanan tersebut.