Kedah Darul Aman (KDA) secara rasminya telah pun melengkapkan senarai pemain import mereka untuk musim ini, dengan pasukan itu telah pun menandatangani lima bintang baharu demi persaingan musim 2024/2025.
Lima pemain tersebut ialah Sukhroub Nurullaev, Sony Norde, Habib Haroon, Milos Gordic, serta baharu diperkenalkan semalam iaitu Jose Cleylton de Morais dos Santos.
Tidak seperti tahun lalu yang sangat meriah dalam kalangan pemain import, tempatan, serta naturalisasi, musim ini segalanya tampak sedikit suram dek kerana isu kewangan membataskan segalanya.
Persoalan kini timbul jika KDA mampu untuk mengekalkan prestasi mereka seperti musim lalu selepas ada rombakan dibuat pasukan tersebut dalam kalangan pemain.
Pada pengamatan penulis, perubahan itu tetap berlaku dengan Nafuzi pastinya memerlukan kembali masa untuk dirinya merombak semula percaturan taktikal dengan senarai pemain dimiliki.
Apatah lagi beliau juga memiliki had pemilihan pemain pada musim ini jika dibandingkan tahun lalu untuk beliau menilai kesesuaian anak-anak buahnya mengikut situasi permainan dan lawan.
Kredibiliti Nafuzi jelas tidak boleh dipertikaikan lagi dan kini ianya terserah buat pengurusan sebenarnya untuk menjaga kebajikan pemain dan memastikan motivasi mereka sentiasa kuat sepanjang saingan liga berlangsung.
Kemasukan pemain tempatan seperti Irfan Zakaria, Rizal Ghazali, Syafiq Ahmad dan beberapa nama lagi juga dianggap cukup melegakan kerana kualiti mereka dapat mengisi kelompongan pasukan serta membantu Nafuzi sendiri di atas padang menerusi pengalaman bintang-bintang tersebut.
Untuk pemain dikekalkan, pastinya ini menjadi cabaran untuk mereka tampil lebih berusaha supaya tidak terus ketinggalan dan menimbulkan persaingan sihat antara kesebelasan utama serta di bangku simpanan.
Situasi sederhana KDA ketika ini juga sebenarnya mampu menjadi suatu rahmat buat bintang-bintang muda tempatan untuk cuba menyerlahkan diri terutama daripada skuad B bagi menembusi pasukan senior.
Semoga musim ini menjadi titik permulaan kembali buat KDA untuk kembali bangkit lebih positif serta diharapkan juga sokongan padu daripada para penyokong demi memastikan kelestarian kewangan kelab sentiasa terjaga.
Kesimpulannya, walau tanpa lambakan import KDA sebenarnya masih mampu mengekalkan persaingan sengit buat pasukan lain serta masih berpeluang mengekalkan prestasi mereka seperti tahun lalu jika segala kebajikan serta Nafuzi diberi kebebasan sepenuhnya bersama para pemain.
”Pulun Kedah Pulun!”
-Afiq Rowley-