Lee Andrew Tuck (Lee Tuck) buat pertama kali merekodkan sejarah baharu dalam bola sepak negeri Kedah Darul Aman (Kedah), selepas beliau tampil menjadi pemain naturalisasi pertama menyertai pasukan tersebut pada musim ini.
Untuk rekod Kedah tidak pernah menggunakan mana-mana khidmat pemain naturalisasi sebelum ini, dan Lee Tuck menjadi pemain pertama yang tampil dengan status berkenaan di bumi Jelapang Padi.
Sebut sahaja nama Lee Tuck, rata-rata pastinya mengenali tonggak tengah ini yang hadir di Malaysia sebelum itu dengan status sebagai pemain import menyertai Negeri Sembilan pada tahun 2017, dan setahun selepas itu mengembangkan kariernya bersama Terengganu pula.
Di Terengganu, aksinya boleh dianggap sangat menyerlah dan nama beliau sentiasa dijulang oleh penyokong Sang Penyu kerana prestasi konsisten dipamerkan sepanjang perlawanan.
Selepas tiga musim bersama Terengganu, pemain ini membuka lembaran baharu untuk mewakili Sri Pahang dan dalam proses untuk didaftarkan sebagai calon naturalisasi bersama Sergio Aguero.
Sementara menunggu proses tersebut, Lee Tuck masih lagi bergelar pemain import dan dipindahkan kembali ke Terengganu sebagai status pinjaman oleh Sri Pahang.
Tahun lalu menyaksikan segalanya berubah buat Lee Tuck, setelah dirinya buat pertama kali bergelar
pemain naturalisasi negara dan dibenarkan beraksi dalam saingan Piala AFF 2022.
Walaupun pernah dicalonkan sebagai pemain warisan kerana dikhabarkan moyangnya mempunyai pertalian darah Malaysia, Lee Tuck gagal untuk mengesahkan dokumen yang diperlukan.
Bersama Kedah musim ini, Lee Tuck pastinya menjadi pertaruhan penting buat Nafuzi Zain selepas
beliau sebelum itu pernah bekerjasama ketika berada di Terengganu.
Daripada beberapa aksi pramusim dilalui Kedah, Lee Tuck jelas menjadi pemain yang sangat penting dan mempamerkan sisi konsistensi beliau di posisi tengah serta serangan.
Mempunyai kualiti kawalan bola yang baik, mampu mencipta hantaran-hantaran tepat, serta kreatif di bahagian serangan menyaksikan Lee Tuck mampu menjadi senjata ampuh baharu buat Kedah.
Malah, gandingan beliau bersama Manny Ott dan Manuel Hidalgo juga dilihat sangat serasi untuk
menguasai bahagian tengah dengan sangat baik menerusi kombinasi permainan menarik dalam
setiap perlawanan.
Kelibat Lee Tuck pastinya akan terus ditagih dan beliau sendiri pastinya mempunyai misi untuk kekal konsisten supaya namanya terus terpahat kukuh untuk mewakili skuad kebangsaan bagi saingan Piala Asia nanti.
Untuk Lee Tuck, berjuanglah sejiwa murni dan semoga beliau bersama Kedah mampu untuk mencipta sejarah baharu dalam saingan Liga M musim ini.