Kedah Darul Aman (Kedah) bermula dengan sangat baik ketika ini dalam saingan Liga Super 2023, setelah konsisten meraih dua kemenangan berturut-turut sebelum itu untuk menghadirkan rasa positif buat para penyokong.
Kedah yang musim ini membuat rombakan baharu dalam barisan pemain serta kejurulatihan tampak berkualiti di segenap posisi, sejak aksi pramusim lagi dan kini dibuktikan dalam persaingan Liga Super.
Terbaharu, skuad Hijau Kuning berjaya menundukkan cabaran Terengganu menerusi keputusan 1-0 di Stadium Darul Aman (SDA), untuk terus meraih kemenangan kedua setakat ini.
Menerusi kemenangan tersebut, Kedah kini berada di tangga ketiga dalam carta Liga Super menerusi enam mata berjaya diraih untuk berada di belakang Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Untuk aksi seterusnya, Sang Kenari bakal membuat perhitungan sekali lagi di laman sendiri untuk bertemu PDRM bagi aksi ketiga Liga Super 2023 dengan sasaran tiga mata pastinya terus menjadi sasaran Nafuzi Zain.
PDRM setakat ini masih lagi belum mencatat sebarang keputusan positif daripada dua perlawanan dilalui mereka menerusi satu kekalahan dan sekali seri untuk mengutip satu mata sahaja.
Pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Premier musim lalu itu jelas tampil dengan permulaan agak perlahan dalam dua perlawanan dihadapi mereka setakat ini.
Untuk rekod pertemuan, kali terakhir kedua pasukan ini bertemu ialah pada tahun 2020 dengan keputusan memihak kepada Kedah hasil dua jaringan bekas penyerang Sang Kenari, Tchetche Kipre.
Musim ini menyaksikan PDRM sebenarnya memiliki rantaian pemain import yang agak bagus di segenap posisi dan Kedah wajib memberi perhatian penuh untuk mengelakkan sebarang kemungkinan.
Bruno Suzuki antara pemain baharu yang ditandatangani PDRM musim ini untuk memperkukuhkan jentera serangan mereka bersama pasangannya iaitu Uche Agba.
Walaupun tidak meledak sebarang gol pada perlawanan lalu ketika menentang Perak, penyerang lincah ini berjaya mempamerkan kualitinya yang tersendiri untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.
Kualiti kepantasan, skil individu, dan bijak mencari ruang untuk melepaskan rembatan merupakan kelebihan dimiliki oleh Bruno dan pastinya pertahanan Kedah perlu berjaga-jaga untuk menghadapi pemain tersebut.
Memiliki rekod beraksi di Liga Malaysia (Liga M) sejak tahun 2017 bersama Negeri Sembilan, pemain ini terus melebarkan pengaruhnya untuk turut mewakili beberapa pasukan tempatan lagi selepas itu, sebelum berhijrah ke Thailand.
Jika dilihat pada carta liga kini, jelas segalanya berpihak kepada Kedah dengan pelbagai aspek kelebihan dimiliki mereka untuk terus meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
Walaupun begitu, PDRM yang kini dibimbing oleh Azzmi Aziz juga pastinya tidak mahu sekadar berputih mata dengan kejutan mahu dibuat mereka untuk sekurangnya membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan.