Cerita tentang sejarah Piala FA, ianya merupakan salah satu kejohanan yang dianggap sangat berprestij dalam negara dan mempunyai sejarah tersendiri buat Kedah Darul Aman (Kedah).
Kedah menjadi antara pasukan yang sangat popular dalam saingan tersebut ekoran kejayaan mereka untuk merangkul sebanyak lima kali kejuaraan itu sepanjang penyertaan mereka.
Sejak kali pertama ia ditubuhkan pada tahun 1990, Kedah perlu menunggu selama enam tahun sebelum mengesahkan nama mereka untuk tampil buat pertama kali dalam sejarah menjuarainya.
Kedah menewaskan Sarawak menerusi keputusan 1-0 hasil gol tunggal pemain legenda sensasi, Che Zambil Ahmad bawah kendalian Mustakeen Omar.
Tahun paling popular sekali pastinya terarah pada musim 2007 dan 2008 selepas Kedah menjuarainya sebanyak dua kali selain merangkul gelaran paling terkenal sehingga kini iaitu ‘Double Treble’.
Pada tahun 2007, perlawanan jelas sangat sengit dengan kedua pasukan saling terikat 0-0 pada masa sebenar sebelum ianya diheret ke penentuan penalti.
Kedah berjaya memenanginya menerusi keputusan 4-2 hasil ledakan wira Sang Kenari ketika itu, Bunyamin Omar, Hasmawi Hassan, Shafizan Hashim, serta Sabre Abu.
Tahun berikutnya, Kedah sekali lagi melakar sejarah untuk mara ke final dengan membuat perhitungan bersama Selangor di Stadium Shah Alam.
Pada aksi tersebut, Kedah berjaya mengetepikan cabaran Selangor menerusi keputusan penuh 3-2 hasil jaringan Mohd Fadly Baharum, Khyril Muhymeen, dan Muhammad Shafiq Jamal.
Selepas itu, segalanya agak suram buat Kedah di saingan Piala FA hinggalah mara ke pusingan separuh akhir pada tahun 2012, sebelum diketepikan Kelantan.
Setelah agak lama penantian kejuaraan oleh Sang Kenari, akhirnya pada tahun 2017 Piala FA kembali ke bumi Darul Aman untuk kali keempat di Stadium Shah Alam.
Baddrol Bakhtiar layak dijulang sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut selepas dua jaringannya bersama satu gol tunggal daripada Ken Ilso mengangkat Kedah sebagai juara untuk mengetepikan cabaran hebat Sri Pahang.
Malah, pada tahun tersebut juga menyaksikan Ken Ilso muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan tersebut selepas ketajamannya berjaya menyumbang lima gol buat Kedah.
Tahun 2019 boleh dianggap sebagai salah satu tahun gemilang buat Kedah, setelah kejayaan pasukan tersebut bersama kendalian Aidil Sharin Sahak berjaya menjulang Piala FA kali kelima dalam sejarah Sang Kenari.
Fadzrul Danel muncul selaku wira selepas membawa pasukan tersebut muncul sebagai juara kejohanan berkenaan selepas jaringan tunggalnya berjaya mengetepikan Perak ketika itu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Kejayaan tersebut juga menyaksikan Kedah mendapat slot untuk ke pusingan kelayakan AFC Champions League (ACL) pada tahun berikutnya.
Siri-siri kejayaan ini pastinya menjadi inspirasi terkini buat para pemain untuk tampil dengan lebih hebat pada tahun 2023, dengan cabaran bermula dengan aksi menentang Penang.
Semoga Kedah berjaya memperoleh sesuatu pada aksi ini dan terus terbang tinggi untuk melakar sejarah baharu bawah era Nafuzi Zain bersama anak-anak buahnya.